John Hattie, seorang ahli pendidikan berasaskan kajian, menemui bahawa “kesan keterlibatan ibu bapa dalam persekolahan murid adalah setara dengan tambahan dua atau tiga tahun pendidikan murid”. Pembelajaran murid akan bertambah baik sekiranya ibu bapa lebih banyak melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak mereka.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) adalah sebuah pertubuhan ekonomi dengan keahlian 37 buah negara. Setiap tahun, mereka akan mengadakan ujian PISA, untuk menilai sistem pendidikan negara-negara di dunia dengan menilai prestasi dalam bidang matematik, sains dan bacaan.
Pada tahun 2009, pasukan PISA telah menemu bual ibu bapa bagi 5,000 orang murid tentang cara mereka membesarkan anak-anak mereka dan membandingkan jawapan tersebut dengan skor ujian. Tiga dapatan tersebut adalah:
- Kepentingan literasi awal. Murid berumur lima belas tahun dengan ibu bapa yang sering membaca buku bersama mereka pada tahun pertama sekolah rendah, memperolehi skor yang lebih tinggi berbanding dengan murid yang ibu bapa mereka tidak membaca bersama mereka.
- Hal ini adalah benar bagi setiap keluarga tidak mengira latar belakang ekonomi. Kaya atau tidak, ibu bapa yang membacakan buku kepada anak-anak pada peringkat awal usia anak-anak, secara konsisten, mempunyai prestasi yang baik di sekolah.
- Apabila ibu bapa membincangkan hal kehidupan dan berbual tentang pembelajaran bersama anak-anak mereka dengan kerap, keputusan ujian mereka menjadi lebih baik.
Kita tahu bahawa, apabila ibu bapa melibatkan diri dalam pembelajaran anak-anak, prestasi pembelajaran anak-anak akan bertambah baik. Kami ingin membantu ibu bapa melakukannya, maka kami telah menghasilkan panduan untuk ibu bapa menggunakan buku ini bagi membantu anak-anak mereka.