Pada November 2019, LeapEd telah melancarkan Projek EcoWira bersama Roots and Shoots Malaysia. Projek ini bertujuan untuk menggalakkan murid menyelesaikan isu di persekitaran mereka melalui kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek (Project Based Learning-PBL).
Sebanyak 41 buah Sekolah Amanah yang mengikuti Projek ini pada tahun lepas dengan pelbagai projek yang menarik. Salah satu sekolah yang mengikuti Projek EcoWira adalah SMK Jeli, Kelantan. Guru dan murid di SMK Jeli telah berganding bahu mengusahakan pelbagai projek seperti Madu Kelulut, Penternakan Ikan Tilapia, pembinaan rumah orang asli dan Tanaman Pokok Herba. Ikuti perkongsian Cikgu Shahri bin Ismail, Pengetua SMK Jeli, Guest of the Month LeapEd, mengenai projek-projek EcoWira yang diusahakan di SMK Jeli.
Boleh Cikgu ceritakan serba sedikit projek-projek EcoWira yang diusahakan di SMK Jeli?
Untuk makluman semua pembaca LeapEd, Alhamdulillah, di SMK Jeli terdapat beberapa projek EcoWira yang telah dan sedang kita laksanakan. Antaranya ialah projek menternak kelulut yang dimulakan pada 2018 dan sekarang kita telah menuai hasil projek. Kita masih menjalankan projek ini.
Projek madu kelulut asasnya merupakan rancangan sekolah di bawah Matlamat Strategik Goal 3 yang melibatkan murid Student Voice Group (SVG) dan kerjasama pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). LPP telah menyumbangkan sebanyak 10 unit sarang lebah kelulut sebagai permulaan. Kami amat berterima kasih atas kepercayaan dan sumbangan pihak LPP. Kemajuan projek ini dipantau oleh pihak LPP dan mereka berpuas hati dengan kejayaan yang kami capai. Melalui projek ini, kami telah menghasilkan produk madu kelulut yang dilabel atas nama SMK Jeli dan kami jual kepada komuniti sekolah. Hasilnya dimasukkan ke dalam tabung projek sekolah.
Kami juga ada mengusahakan Laman Lestari Hijau. Dalam projek ini kami menanam sayur seperti lada secara fertigasi. Lada ini kalau di Kelantan, kita panggil Lada Solok. Lada ini yang kita buat sebagai makanan tambahan (lauk) yang ada inti kelapa dan ikan atau jeruk. Selain lada, kami juga ada bayam, kobis, kangkung, sawi dan kulat
Sama seperti projek kelulut, hasil tanaman kami jual kepada warga sekolah. Biasanya tanaman terus ditempah oleh pihak kantin serta warga SMK Jeli di kalangan guru dan kakitangan sekolah. Kuantiti yang dihasilkan melalui projek buat masa ini, mencukupi untuk pasaran dalaman.
Kami ada kolam yang telah dibina tapi sedikit terbiar. Jadi kami baiki, tambah baik dan mula menternak ikan tilapia. Kami jangka dalam masa 4-5 bulan, kami akan dapat tuai hasil ternakan. Kami juga amat bertuah sebab kami mempunyai seorang guru pendidikan khas yang berkemahiran menghasilkan baja foliar daripada sisa ikan. Baja ini kami gunakan untuk projek Laman Lestari Hijau. Kolam ini juga dibina untuk memberi ketenangan kepada warga sekolah supaya murid berasa selesa dan berasa seronok hadir ke sekolah.
Selain daripada pertanian dan penternakan ikan, kami juga sedang membina laman yang dipanggil laman Jahai. SMK Jeli mempunyai 78 orang murid Jahai daripada 879 murid. Jadi di laman ini kami bina rumah ayak iaitu rumah orang asli dan akan dijadikan pusat aktiviti pelajar, PdPC, mini galeri atau muzium orang asli.
Kami melibatkan murid dalam keseluruhan proses projek. Contohnya untuk projek madu kelulut dan Laman Lestari Hijau, murid sendiri yang menanam, buat jadual penyiraman, pilih hasil untuk dituai dan pasarkan produk. Yang ingin saya tekankan disini adalah penglibatan murid di mana murid diberi pendedahan mengenai proses menguruskan projek dari mula hingga akhir. Bagi saya ini amat membanggakan terutamanya bagi murid Pendidikan Khas Integrasi (PKI) and murid orang asli kami.
Mengapakah memilih projek-projek ini sebagai Projek EcoWira?
Matlamat kami adalah untuk membuka minda murid mengenai bidang pertanian yang boleh menjana pendapatan murid. Aktiviti projek-projek di sekolah, kami kaitkan semula dengan kehidupan murid di rumah. Sebagai contoh, dalam persekitaran murid orang asli, mereka sentiasa dekat dengan sungai. Jika dengan ilmu projek ini, dia boleh mulakan projek sendiri maka kita boleh bantu dia sediakan sumber makanan dan jana pendapatan sendiri.
Projek ini juga amat penting untuk membina keyakinan diri dan kemenjadian murid khususnya bagi murid PKI. Kami harap penglibatan mereka dalam projek-projek EcoWira dapat memberi kesedaran bahawa kekurangan mereka tidak membataskan mereka untuk maju seiring dengan murid sempurna yang lain. Pengalaman dan pengetahuan yang mereka perolehi melalui projek ini dapat mempersiapkan mereka untuk kehidupan selepas alam persekolahan.
Begitu juga dengan konsep pembinaan rumah ayak. Selepas berbincang dengan Ketua Penolong Pendidikan Daerah (KPPD), rumah ini dibuat untuk memberi motivasi kepada murid orang asli untuk datang ke sekolah dan supaya murid-murid saya yang lain dapat menghargai budaya orang asli Jahai. Saya yakin ramai murid SMK Jeli yang belum pernah sampai ke perkampungan orang asli. Saya fikir kita perlu kongsi budaya orang asli di sekolah supaya mereka (orang asli) berasa bangga dengan budaya mereka. Saya pun bina rumah ayak ini dengan kerjasama wakil ibu bapa orang asli, yang sama-sama menyiapkan rumah.
Selain itu, matlamat projek ini untuk kami memupuk murid dengan perasaan kecintaan kepada sekolah, menghargai perbezaan budaya dan memupuk rasa bertanggungjawab dalam diri murid. Kami juga mahu mereka berasa bangga dengan usaha mereka yang membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada orang lain.
Setakat ini cetusan idea projek adalah daripada perbincangan para guru. Kami harap satu hari nanti, murid kami akan menjadi lebih yakin untuk menyuarakan pendapat dan idea mereka.
Bagaimana sekolah memastikan projek diteruskan walaupun sekolah ditutup semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Di dalam pengurusan sekolah, kita bina hubungan yang erat antara pihak pengurusan dan kakitangan sekolah, termasuk pekerja swasta. Memang penutupan sekolah memberi kekangan kepada kami untuk memantau projek-projek EcoWira ditambah dengan kesukaran guru dan murid menjalani PdPR.
Kaedah kami semasa lockdown, saya menggunakan kekuatan kakitangan yang dijadualkan untuk berada disekolah bagi menjalankan tugasan pentadbiran sekolah. Guru-guru saya akan bantu beri makan ikan dan periksa Laman Lestari Hijau. Selain itu, kami minta pegawai keselamatan dan pekerja bersih kawasan untuk pantau projek semasa rondaan mereka.
Apakah perubahan yang dapat dilihat pada guru atau murid yang mengikuti projek ini?
Untuk tahun ini, kerana tempoh persekolahan sangat sekejap, kita tak dapat melihat perkembangan yang diharapkan. Murid pun tidak sempat menggunakan rumah ayak. Tapi kami sempat tuai hasil daripada Laman Lestari Hijau. Saya lihat murid PKI cukup teruja dan seronok menjaga tanaman. Saya pun jadi terharu melihat murid beria-ria memilih hasil yang dapat dituai. Dari segi kemenjadian murid, saya lihat usaha kami dapat menerapkan unsur kebanggaan dan bertanggungjawab dalam diri murid. Dia (murid) yang pilih, timbang, dia juga yang promote, dan jual kepada guru. Guru pula bila anak murid yang jual, walau bagaimanapun tetap akan beli juga.
Bila kami buat banyak projek begini, kami dapat menjalankan pelbagai aktiviti untuk melibatkan lebih ramai murid. Apa yang menarik sepanjang pelaksanaan projek-projek kami, tidak ada murid yang tidak bertanggungjawab. Tidak ada yang usik sarang lebah kelulut, tidak ada yang buat khianat dan sebagainya.
Melalui projek-projek ini juga, saya lihat guru dan anak murid saya menjalinkan silaturrahim yang sihat. Hasil kerjasama ini saya percaya akan memberi impak positif kepada pembelajaran dan pengalaman murid di sekolah.
Apakah pesanan cikgu kepada guru yang hendak menggunakan kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek dalam pengajaran?
Harapan saya dengan perkongsian ini, saya dapat memberi manfaat dan inspirasi kepada sekolah lain. Melalui projek EcoWira ini, saya mahu buktikan kita boleh bina persekitaran sekolah yang cantik, walaupun dengan sumber dan ruang yang terhad. Dalam masa yang sama, kita juga boleh memberi impak yang besar pada kemenjadian murid dan menggalakkan penglibatan komuniti melalui setiap proses projek.
Kejayaan-kejayaan projek ini mustahil tanpa sokongan kakitangan, wakil-wakil PIBG serta komuniti SMK Jeli yang menjadi kekuatan kami. Jika SMK Jeli, sebuah sekolah di kawasan pendalaman dengan ruang yang terhad boleh menjalankan pelbagai projek bersama murid-murid kami, kami pasti sekolah lain pun boleh.
Cadangan saya kepada guru-guru saya di SMK Jeli serta guru-guru lain di luar sana, dalam setiap projek yang kita rancang, kita perlu mengambil kira keperluan anak-anak didik kita. Apa yang penting adalah kemenjadian murid. Walaupun kita mengharapkan 100%, tetapi kalau murid kita mampu capai tahap 70% dari segi kefahaman, penimbaan ilmu pengetahuan dan amali, ia tetap akan memberi impak yang besar kepada anak murid.
Yang penting kita perlu beli jiwa murid supaya mereka seronok berada di sekolah dan seronok dengan hasil kerja mereka. Ini penting sebagai motivasi dan dorongan kepada murid. Saya galakkan pembelajaran berasakan projek melalui program EcoWira ini kerana ia memupuk pengetahuan serta kemahiran murid. Walaupun dengan cara tanam pokok lada tepi rumah tapi itu adalah hasil usaha murid kita sendiri.