Guest of the Month – Adik Noor Fadlhin Sakina


LeapEd berkongsi kebimbangan semua pihak dalam isu pendidikan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Bank Dunia, UNICEF dan pelbagai organisasi lain melaporkan 1.5 bilion murid di seluruh dunia terkesan dengan penutupan sekolah. Di Malaysia, kaji selidik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati 36.9% murid tidak mempunyai peranti untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Jurang pendidikan seperti kemiskinan digital serta keciciran pembelajaran jika gagal ditangani, akan melahirkan “Generasi Tersisih (Lost Generation)” dan ini amat merisaukan terutamanya bagi kelompok murid yang sedang menguasai kemahiran 3M-membaca, menulis dan mengira.

Ramai murid, guru, dan ibu bapa yang berharap pandemik ini akan segera berakhir agar sekolah dapat dibuka semula dan proses PdP dapat diteruskan dalam keadaan yang selamat. #Guestofthemonth LeapEd pada bulan ini menampilkan Adik Noor Fadlhin dari SK Seberang Ramai yang berkongsi pengalaman pembelajaran beliau di sekolah.


Image

Suka tak datang ke sekolah? Mengapa?

Terlalu suka. Kerana jika dibandingkan di rumah, semasa PdPR, (saya) susah nak belajar, tidak fokus. Di rumah ada adik-adik kacau tapi bila di sekolah, saya lebih bersemangat kerana bersemuka dengan guru dan bersama rakan-rakan.

Di sekolah ada ramai kawan. Bila PdPR, biasa duduk rumah, tiada rakan bersembang. Saya seronok belajar bersama kawan-kawan.

Apakah yang menyeronokkan belajar di sekolah?

Bila guru mengajar di dalam kelas, kami fokus. Bila PdPR, ada yang lambat masuk tapi bila belajar di dalam kelas, semua boleh fokus. Seronok belajar dengan aktivit-aktiviti yang guru beri.

Selain itu, saya suka waktu Pendidikan Jasmani (PJ). Banyak aktiviti di luar kelas, bermain sukan seperti hoki, bola jaring dan sebagainya.

Bagaimana dengan pengajaran guru di sekolah?

Sangat bagus. Cikgu adakan aktiviti, games. Sebab itu kami rasa lebih seronok. Selalu kalau belajar, mesti bosan tapi di sekolah cikgu adakan permainan, aktiviti berkumpulan.

Apakah perbezaan belajar di dalam kelas dahulu dan sekarang?

Perbezaan yang saya nampak, selalu tiada penjarakan, boleh bersembang dekat-dekat. Tapi sekarang kita perlu pakai mask, kena jarak 1 meter. Itu perbezaan norma baharu.

Kita akan berubah tingkatan (darjah) setiap tahun. Jadi, pembelajaran semakin susah. Dengan itu, kami perlu lebih fokus dalam pembelajaran walaupun tiada peperiksaan UPSR.

Apakah subjek kegemaran di sekolah?

Muzik dan BM. BM ada peningkatan markah tapi Muzik saya tak pasti kerana bukan subjek asas. Dalam subjek BM, saya lebih confident berbanding dulu. Dulu saya tak tahu apa-apa, tapi sekarang saya rasa lebih yakin.

Apakah pesanan untuk murid-murid yang lain?

Saya rasa murid-murid patut datang ke sekolah kerana terdapat banyak perkara di sekolah berbanding duduk di rumah. Seperti yang saya sebutkan tadi, di sekolah ada game, aktiviti berkumpulan, PJ di luar kelas, senam robik. Daripada duduk di rumah, baik kita pergi sekolah. Tapi dalam tempoh PdPR, kita perlu akur dan duduk di rumah. Kami belajar melalui Google Meet. Selain itu, ada kuiz dan latih tubi untuk bantu tingkatkan pengetahuan di rumah.


Kami percaya terdapat ramai murid-murid lain seperti Adik Noor Fadlhin yang ingin kembali mengikuti pembelajaran di sekolah bersama guru dan rakan-rakan. Pandemik COVID-19 telah membuka ruang untuk kita mengkaji semula dan menambah baik sistem pendidikan sedia ada. Peluang ini perlu diambil untuk memastikan pembinaan generasi Malaysia yang seimbang dan harmoni. Perkara ini tidak mustahil jika kita dapat bekerjasama demi memastikan semua murid mendapat pendidikan yang sewajarnya dan tidak ada yang tercicir.